Kebetulan, usrah hari ini tadabbur surah Ali-Imran ayat 189-191. Kebetulan juga, saya buka buku, tajuk berkaitan tentang alam dan ketuhanan.
Alam adalah guru yang mengajarkan kita ilmu kekuasaanNya-
Anjuran berinteraksi dengan alam dapat dilihat dalam banyak ayat-ayat Quran. Antara yang ditadabbur ialah Surah Ali-Imran ayat 190-191 yang bermaksud;
" Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal. (Mereka adalah) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ' Ya Tuhan kami! Tiadalah Engkau menciptakan ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
Disebalik alam ada pelajaran, hikmah, falsafah dan kebijaksanaan yang mahu dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki. Alam adalah tentang mengenal kewujudan rasa bertuhan yang meruntun jiwa dan akal untuk bertafakur dan merenung sejauh mahunya tentang bagaimana kejadiannya sehingga melahirkan takjub, takzim yang membawanya untuk menyerahkan segala puji kepada Penciptanya.
Jadi, renunglah alam sekeliling. Rasakan, segala kenikmatan daripada alam yang ada ini.
Orang begini mendapat dua perkara dari alam;
pertamanya, telah ia dapatkan nikmat yang mencurah-curah daripada Tuhannya, kerana erti syukurnya, dia juga bakal menjadi muqarrabin yang tidak jemu berzikir atas nama Tuhannya dengan melihat pada penciptaan langit lautan gunung-ganang yang terhampar.
Keduanya, dia mendapatkan ketenangan, kehalusan jiwa, ketinggian budi, kerukunan pekerti, pandangan yang jelas dan terang serta semangat yang berkobar.
Alam adalah pengubat jiwa-jiwa buntu, penyegar mata dan hati.
Jom, kita berfikir tentang alam sekeliling kita, tentang ciptaanNya yang sentiasa 'berpusing', 'bergerak'.